Budaya menyatukan bangsa – 1Malaysia

Tari sejiwa
Oleh Shamshul Azree Samshir
sazree@bharian.com.my

Festival rai seni, semarak rumpun Malaysia

BUDAYA menyatukan bangsa. Begitulah yang dilihat apabila seni halus seperti tarian, seloka, gurindam dan syair mampu merapatkan jurang serta menepis bait-bait perbezaan di kalangan masyarakat bertamadun. kuala lumpur seni01

Seni tidak pernah bersifat prejudis. Semua orang layak memberi tafsiran tersendiri dan melalui seni, ruang bagai terbuka untuk diteroka. Pada era moden, kemakmuran sesebuah negara bukan sekadar diukur daripada pencapaian ekonomi, sebaliknya bangsa maju didefinisikan dari setiap unit populasi seimbang yang tidak mengetepikan elemen rohaniah termasuk seni.

Di Malaysia, kepelbagaian kaum sudah lama menjadi simbol kekuatan negara. Integrasi antara kaum jika diperhatikan turut terbias pada seni halus yang diperturunkan zaman ke zaman. Asimilasi seni melalui penyatuan pelbagai elemen dalam rentak tari Melayu, India dan Cina misalnya, membentuk keunikan tersendiri yang hingga hari ini terus menjadi tarikan setiap kali dipersembahkan di mana saja terutama di luar negara.

Dalam mencari-cari erti seni dan bagaimana ia mampu menjadi elemen penyatuan kepelbagaian etnik di Malaysia, Festival Tari Malaysia 2009 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur kelak, mampu menjadi naskhah terbaik dalam menilai kecintaan rakyat terhadap seni, penyatuan dan kepelbagaian resam.

Dianjurkan sejak 1992, Festival Tari Malaysia 2009 amat dinantikan penggemar seni tari dari seluruh negara. Apa yang menarik, kumpulan tarian dari Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak akan bersaing tiga kategori dalam persembahan yang pastinya penuh warna-warni mengikut kepakaran dan interpretasi sendiri.

Tiga kategori yang bakal menguji kumpulan lebih 150 penari, pemuzik dan pegawai teknikal dan pengiring dari enam negeri ini ialah tarian tradisional daerah; tarian rampaian tradisional dan tarian tradisional kreasi baru.

Dalam kategori tarian rampai tradisional misalnya, setiap kumpulan diwajibkan memilih sekurang-kurangnya tiga tarian dari kumpulan tarian zapin, joget, inang, Melayu asli, masri, sarah dan defey untuk dipersembahkan dengan iringan muzik secara langsung.

kuala lumpur seni02
Pada peringkat ini, nyata elemen penyatuan dan integrasi antara kaum terserlah apabila penari yang berasal dari etnik Sabah dan Sarawak perlu menghayati dan memahirkan diri dengan tarian tradisional Melayu. Di sinilah letaknya keindahan seni kerana melalui seni tari, semua perbezaan dan kesangsian bagaikan hilang sebaliknya hanyut dalam langkah gemalai penari.

Pengarah Projek Festival Tari Malaysia 2009, Zulkarnain Ramli berkata, unsur penyatuan dan asimilasi antara kaum dapat dilihat melalui segmen tarian tradisional kreasi baru apabila setiap kumpulan yang bertanding menggabungkan unsur pelbagai kaum dalam persembahan di festival ini.

“Ini dapat dilihat melalui bentuk tarian dan kostum yang digunakan. Kita memberi kelonggaran pada segmen kreasi baru untuk mereka menterjemah kepelbagaian budaya dan etnik di Malaysia,” katanya kepada Sabtu.

Zulkarnain berkata, Festival Tari Malaysia 2009 membuka penyertaan kepada semua kelompok masyarakat tanpa mengira kaum termasuk Cina, India di seluruh negara serta kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, festival kali ini akan menampilkan segmen khas pada malam penutup atau majlis penyampaian hadiah pemenang yang dijadualkan berlangsung pada 31 Julai ini.

“Segmen ini yang dinamakan Tari Kolaborasi akan menampilkan tiga koreografer iaitu Syed Mustapha, Aman Yap dan Guna yang masing-masing mewakili kaum Melayu, Cina dan India tampil ke pentas membuat persembahan bagi tempoh antara tujuh hingga lapan minit.

“Apa yang menarik, tiga koreografer berpengalaman ini akan mempersembahan tarian kreasi baru yang diterjemah berasaskan kepada layar belakang tradisi masing-masing,” katanya.

Zulkarnain berkata, naskhah yang bakal dipersembahkan Syed Mustapha, Aman dan Guna itu cukup istimewa kerana persembahan ini tidak diterajui sesiapapun dari kalangan tiga penari ini.

“Persembahan tiga koreografer ini mendedahkan peserta bagaimana tiga penari yang datang dari latar belakang dan budaya berbeza boleh duduk bersama dan berkolaborasi menghasilkan persembahan unik diiringi muzik Melayu, Cina dan India,” katanya yang berharap orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan tiga penari pada segmen istimewa ini.

Zulkarnain berkata, Festival Tari Malaysia 2009 mahu menghidupkan warisan tarian tradisional dan menurunkannya kepada kumpulan penari atau generasi muda supaya tidak pupus begitu saja.
kuala lumpur seni03Apa kata mereka…

FESTIVAL ini menjadi medan terbaik untuk merapatkan semangat muhibah antara kumpulan tarian dan audiens dari seluruh negara termasuk yang datang dari Sabah dan Sarawak.

Kami di Sabah misalnya, mempunyai semangat kenegaraan yang tinggi. Ini dapat dilihat daripada kecintaan kami terhadap tarian tradisional Melayu yang sering menjadi tumpuan di negeri ini selain tarian etnik Sabah yang lain.

Saya menyokong inisiatif penganjur mengadakan festival ini yang pada masa sama membolehkan kami dari Sabah memperkenalkan tarian etnik masyarakat tempatan di Kuala Lumpur… Sudah tentu peserta dan audiens dapat mempelajari gerak tari kami.

Tarian Melayu Asli bukan sesuatu yang asing di Sabah malah boleh dianggap antara jenis tarian popular dan selalu dipertandingkan dalam acara dianjurkan Jabatan Pendidikan negeri, misalnya.

Mungkin ramai tidak tahu, peserta atau kumpulan tari dari Sabah sering memenangi pertandingan tarian Melayu asli peringkat sekolah menengah dan rendah yang dianjurkan di seluruh negara.

Kami dari Pertubuhan Budaya Kinabalu tidak sabar-sabar beraksi pada Festival Tari Malaysia 2009 akhir bulan ini.”

Ketua Kumpulan Pertubuhan Budaya Kinabalu, Nasriadi Abdullah

SAYA fikir Festival Tari Malaysia 2009 mempunyai tarikan elemen intergrasi yang kuat di mana peserta perlu menguasai tari tradisional Melayu sebagai salah satu syarat ditetapkan penganjur.

Nyata tari Melayu di Sarawak ada banyak perbezaan dan memiliki elemen tersendiri jika mahu dibandingkan dengan tarian Melayu di Semenanjung Malaysia. Malah, tarian zapin dan asli yang ditarikan di negeri ini juga berbeza.

Sudah pasti ada unsur asimilasi budaya antara kaum yang diterapkan sepanjang festival ini… Kita dapat bersatu melalui budaya.”

Pegawai Pengiring Kumpulan Hadrah Warisan Murni Bintulu, Ismail Zakira

Info

Acara : Festival Tari Malaysia

Tarikh : 28 Julai hingga 31 Julai 2009

Tempat : Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Kuala Lumpur

Info

Festival Tari Malaysia peringkat kebangsaan adalah program anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sejak 1992.

Misi utama penganjuran program itu adalah untuk memantapkan kumpulan kesenian tari di Malaysia selaras mensasarkan kesenian sebagai satu pengisian kepada industri kreatif negara.

Menganjurkan pertandingan tarian dengan hanya enam kumpulan tari terbaik yang mewakili peringkat zon untuk dipertandingkan di peringkat kebangsaan.

Kategori dipertandingkan pada Festival Tari Malaysia 2009

Tarian Tradisional Daerah (Anugerah Khas Juri)

Tarian Rampaian Tradisional

Tarian Tradisional Kreasi Baru

Hadiah

Persembahan Terbaik Keseluruhan RM25,000

Persembahan Terbaik Tarian Tradisional Daerah (Anugerah Khas Juri) RM10,000

Persembahan Terbaik Tarian Rampaian Tradisional RM10,000

Persembahan Terbaik Tarian Tradisional Kreasi Baru RM10,000

Anugerah Koreografi Terbaik Tarian Rampaian Tradisional RM5,000

Anugerah Koreografi Terbaik Tarian Tradisional Kreasi Baru RM5,000

Anugerah Penataan Muzik Terbaik Tarian Rampaian Tradisional RM3,000

Anugerah Susunan Muzik Terbaik Tarian Tradisional Kreasi Baru RM3,000

Anugerah Kostum Terbaik Tarian Rampaian Tradisional RM3,000

Anugerah Kostum Terbaik Tarian Tradisional Kreasi Baru RM3,000

Saguhati Penyertaan Kumpulan (untuk 6 buah kumpulan) RM2,000

~ by anaksenikl on July 18, 2009.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: